Oleh: Ustaz Tajul Arifin bin Che Zakaria  (dipetik dari http://abuamru1208.blogspot.com)
  
 
 
 

 Assalamualaikum wrt. wbt.
 Mutaakhir ini timbul beberapa kekeliruan terhadap perkara yang  dulunya mudah, tetapi kini menjadi sukar difahami. Bukan kerana hakikat  itu telah berubah, namun ia diolah oleh mereka yang berkepentingan.  Disebabkan terdesak untuk memahamkan orang tentang kaitan peristiwa atau  isu yang telah berlaku, maka hakikat tersebut terpaksalah diterangkan  dan diolah selari dengan kepentingan berkenaan. Jangan tertipu dengan  apa yang diperkatakan, mari kita kembali kepada nas asal yang  memperkatakan tentang itu.
 Apa makna IHSAN kepada ibubapa?
 1. Merujuk kepada ayat 23-24 dari Surah al-Isra’ Allah telah  berfirman yang bermaksud:
 “Dan Tuhanmu telah memerintahkan  agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik  (ihsan) kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau  kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka jangan  sekali-kali kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan “ah”** dan  janganlah kamu membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya  perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan  penuh kasih sayang dan ucapkanlah..”Wahai Tuhanku! Kasihanilah keduanya  sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku pada waktu kecilku.”
 ** mengucapkan  kata “ah” kepada orang tua tidak dibolehkan, apalagi mengucapkan  kata-kata atau memperlakukan mereka dengan lebih kasar daripada itu.
 Di dalam ayat di atas ada 10 permasalahan:
 1. Qadho - ialah suruhan wajib untuk menyembah Allah swt iaitu Allah  Ta’ala telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selainNya.
 2. Allah swt memerintahkan agar manusia menyembahNya dan  mentauhidkanNya disertakan dengan berbuat ihsan kepada kedua ibubapa,  sama seperti bersyukur kepada Allah swt. disertakan dengan  berterimakasih kepada kedua ibubapa. Di dalam hadith yang diriwayatkan  oleh al-Bukhari daripada Abdullah ra, katanya: “Aku bertanya Nabi saw  apakah amal yang paling disukai oleh Allah?” Nabi menjawab: “Solat dalam  waktunya.” Aku bertanya lagi kemudian apa lagi?”. Nabi saw menjawab:  “Kemudian berlaku ihsan kepada kedua ibubapa.” Aku bertanya lagi  kemudian apa lagi?” Nabi saw menjawab: “Berjihad fi sabilillah.”
 Lihatlah betapa pentingnya ihsan kepada kedua ibubapa sehingga Nabi  saw menjadikan ‘birrul walidaini’ -berbuat baik kepada ibubapa-  seafdhal2 amal selepas solat yang merupakan tiang agama yang terpenting.
 3. Di antara makna ‘birrul walidaini’ dan ‘ihsan’ kepada kedua  ibubapa ialah bahawa jangan seseorang itu menderhaka kepada kedua2nya  kerana ia termasuk daripada dosa-dosa besar (kabaair) tanpa khilaf.  Perkara ini ditegaskan oleh sunnah thabitah. Di dalam sahih Muslim  daripada Abdullah ibn Amru bahawa Rasulullah saw telah bersabda:  “Sesungguhnya dikira daripada kabaair itu berkata kesat (memaki) seorang  lelaki terhadap kedua ibubapanya. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah  saw adakah orang yang akan berbuat demikian kepada ibubapanya?”  Rasulullah saw menjawab: “Ya, boleh berlaku bila seorang lelaki  mengeluarkan kata-kata kesat kepada bapa orang lain, lalu orang tadi  membalas dengan memaki ibu dan bapanya.”
 4. Termasuk derhaka kepada ibubapa ialah menyalahi kehendak  kedua-duanya dalam perkara yang diharuskan oleh syara’, sama halnya  ‘birrul walidaini’ bermakna membuat sesuatu yang disukai oleh  kedua-duanya. Berdasarkan kenyataan di atas apabila kedua-dua ibubapa  menyuruh sesuatu perkara kepada anaknya, maka menjadi kewajipan ke atas  anak itu mentaatinya selagimana suruhan itu dalam perkara yang bukan  maksiat.
 5. Imam Tarmizi meriwayatkan daripada ibnu Umar ra katanya: “Saya ada  seorang isteri yang saya amat kasih, tetapi ayah saya membencinya dan  menyuruh aku menceraikannya, lalu aku enggan. Aku mengadu kepada  Rasulullah saw, lalu baginda saw bersabda: ” Wahai Abdullah ibnu Umar!  Ceraikan isterimu itu.” (Hadith Hasan lagi Sahih).
 6. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra katanya: “Seorang lelaki  datang kepada Nabi saw lalu berkata: “Siapa yang paling berhak untuk aku  melakukan ihsan dalam persahabatan dengannya?” Nabi saw menjawab: “Ibu  kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa  lagi? Nabi menjawab: “Ibu kamu.” Kemudian siapa lagi? Nabi menjawab:  “Bapa kamu.”
 Dalam hadith ini menunjukkan kasih kepada ibu 3 kali ganda melebihi  kasih kepada bapa kerana Nabi saw menjawab tiga kali ibu dan bapa  disebut yang keempat.
 7. Tidak dikhususkan ‘birrul walidaini’ hanya kepada ibubapa yang  muslim sahaja, bahkan wajib berbuat baik kepada kedua-duanya sekalipun  mereka kafir.
 8. Termasuk yang dimaksudkan ‘ihsan’ kepada kedua-dua ibubapa ialah  apabila tidak sampai ke tahap jihad menjadi fardhu ain, ia mestilah  mendapat keizinan daripada ibubapa untuk keluar berjihad; tidak boleh  keluar berjihad kalau ibubapa tidak memberi izin. Ini berdasarkan hadith  yang sahih yang diriwayatkan daripada Abdullah ibnu Umar ra katanya:  “Telah datang seorang lelaki kepada Nabi saw meminta izin untuk  berjihad, maka Nabi saw bertanya: “Adakah kedua ibubapamu masih hidup?”  Dia menjawab masih hidup, lalu Nabi saw bersabda: “Maka untuk kedua-dua  ibubapamu hendaklah kamu berjihad.” (Riwayat Muslim).
 Di dalam riwayat yang lain lelaki tadi menjawab: “Ya, masih hidup dan  aku meninggalkannya dalam keadaan kedua-duanya menangis. Nabi saw  bersabda: “Pergi kamu, maka usahakan supaya kedua-duanya ketawa  sebagaimana kamu telah membuat kedua-duanya menangis.”
 Dalam riwayat yang lain lagi…. Nabi saw bersabda: “Tidur kamu bersama  kedua ibubapa kamu di atas tilamnya lalu kamu berusaha menjadikan  kedua-duanya ketawa dan kamu pula bergurau senda dengan mereka lebih  afdhal daripada kamu berjihad bersama aku.”
 9. Ulama’ berselisih adakah apabila ibubapa musyrik diperlukan  keizinan daripada kedua-duanya untuk berjihad (jihad kifayah)?
 Imam Thauri berpendapat perlu, tetapi Imam Syafei berpendapat tidak  perlu.
 10. Sebagai penyempurna dalam ‘birrul walidaini’ ialah menghubungkan  silaturrahim dengan mereka yang pernah bersahabat dengan ibubapa…
 Semoga bermanfaat untuk direnung oleh anak-anak yang beribu dan  berbapakan da’ie -para pendakwah- di jalan Allah swt. Jangan lupa hukum  dalam melakukan dakwah dan jihad, nanti antum juga yang menyesal suatu  hari nanti. Ingatlah kisah ‘Alqamah yang tidak mampu mengucap syahadah  dek kerana dia melebihkan si isterinya daripada ibu sendiri. Ibunya  memendam rasa di hati, namun tidak diluahkan… Bagaimana ibu-ibu dan  bapa-bapa yang kini berada dalam bahtera dakwah yang diketahui  kebaikannya tiba-tiba anak sendiri yang mengherdik dan merendahkannya;  bukankah itu menderhaka namanya??? Fikir-fikirkanlah di atas iman dan  amal kata sahabat kita dari Jamaah Tabligh….
 Sila rujuk - al-Jaami’ Li  Ahkaamil Quran oleh Imam al-Qurthubi, jilid ke5, m/s 155-157, cetakan  ke6 tahun 1996 Darul Kutub al-Ilmiyah.
-rujukan dari  laman web majlis syura muslimun- http://msmonline.net/v1/?p=911